Siapa lebih layak jadi presiden FAM?


‚ÄčTeraju pimpinan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bakal beralih tangan apabila barisan exco dilaporkan akan menerima surat peletakan jawatan presiden, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pada 15 Ogos ini.

Persoalan yang timbul kini, siapa layak untuk mengemudi badan induk bola sepak negara itu yang sering mendapat kritikan pedas ekoran kemerosotan pasukan kebangsaan.

Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim memang disebut-sebut calon paling layak untuk memegang jawatan tertinggi itu, namun beliau awal-awal lagi menolak cadangan itu kerana tidak mahu menimbulkan konflik kepentingan.

Beliau juga menegaskan presiden FAM tidak sepatutnya datang daripada kerabat Diraja dan juga mempunyai pertalian dengan mana mana persatuan bola sepak negeri atau kelab yang mengambil bahagian.

Bekas Setiausaha Agung FAM Tan Sri Dr Ibrahim Saad bersetuju dengan kenyataan Tunku Ismail, dan beliau berpendapat jawatan tertinggi persatuan tidak dibarisi mereka yang mempunyai jawatan dalam persatuan negeri.

“Saya pernah mencadangkan dulu, siapa yang pegang jawatan tertinggi dalam FAM tidak boleh mempunyai jawatan di peringkat negeri kerana tidak mahu timbul konflik kepentingan.

“Kepimpinan FAM perlu mengambil berat kepentingan negara lebih daripada kepentingan negeri supaya tidak timbul konflik,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Turut senada dalam isu ini ialah bekas pemain negara era 70-an, Dali Omar yang berkata FAM wajib membuat rombakan besar-besaran dan anggotanya diganti dengan muka baharu yang mempunyai pengalaman dan pengetahuan meluas tentang bola sepak.

Bekas pemain, tiada kepentingan

Dali berkata calon paling sesuai bagi jawatan presiden FAM adalah dalam kalangan bekas pemain dan bukan golongan yang mempunyai pangkat.

“Susah bekerjasama dengan mereka yang berpangkat kerana anggota bawahan tidak berani menyuarakan pendapat sehingga menerima sahaja segala pandangan, cadangan dan keputusan kepimpinan tertinggi FAM.

“Apa berlaku sekarang dalam FAM dan bola sepak negara tiada siapa berani kritik kerana takut dengan risiko yang bakal diterima,” kata pemain yang pernah beraksi dengan sebuah kelab di Australia pada 1972.

Jelasnya, presiden FAM perlu mahir tentang selok-belok pengurusan bola sepak, di samping tidak ada sikap berkepentingan dengan mana-mana persatuan negeri.

Dali turut menyuarakan kehampaannya terhadap prestasi merosot skuad negara yang tidak berubah dan tidak konsisten sejak beliau kembali ke tanah air 16 tahun lepas.

Tokoh korporat

Bagaimanapun, Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM) B. Sathianathan berkata tokoh korporat, Tan Sri Tony Fernandes antara individu yang layak selain Tunku Ismail.

Selain membawa sumber kewangan dalam persatuan, lebih utama lagi calon itu perlu mempunyai masa untuk menguruskan pentadbiran FAM.

“Calon presiden FAM mesti ada visi yang jelas serta perancangan pembangunan bola sepak untuk jangka pendek dan panjang,” kata bekas ketua jurulatih kebangsaan itu.

Ketika ini beberapa tokoh korporat tanah air telah memiliki kelab bola sepak luar negara seperti Fernandes dengan Queen Park Rangers, Tan Sri Vincent Tan (Cardiff City) dan Datuk Dr Noordin Ahmad (FC Bari 1908).

-Bernama

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s